Thursday, March 22, 2007

TIDAK KEDEKUT MEMBAWA BERKAT

Pada zaman dahulu, sepasang suami isteri telah sekian lama berkahwin, baru memperoleh anak. Sebaik sahaja bayinya dilahirkan, si suami meninggal dunia. Si isteri yang telah berusia itu tinggal bersama bayinya di sebuah pondok yang sudah uzur.

“Aku telah tua, suamiku telah meninggal dunia, bagaimana agaknya aku hendak memelihara bayiku ini?” ujar wanita yang bernama Siti Zaurah.

Siti Zaurah tidak mampu memberikan bayinya susu. Bayinya menangis kelaparan. Siti Zaurah berasa sangat susah hati.

“Aduhai anakku, berhentilah menangis. Ibu akan berusaha mencarikan susu untukmu. Sabarlah sayang,” pujuk Siti Zaurah.

Sudah puas Siti Zaurah memujuk, tetapi tangisan si kecil masih belum berhenti. Siti Zaurah menjadi gelisah. Hatinya bertambah bimbang. Semakin lama, tangisan bayinya semakin kuat.

“Sudah tentu anakku ini kelaparan. Bagaimana harus kulakukan?" Siti Zaurah kebingungan.

Siti Zaurah mendukung bayinya dan keluar dari rumah. Suasana yang panas di luar rumah, membuatkan bayinya semakin menangis. Siti Zaurah mengerti, bayinya sangat lapar. Siti Zaurah berusaha untuk meminta bantuan dari sesiapa sahaja yang ditemui. Siti Zaurah singgah di sebuah rumah. Siti Zaurah berharap penghuni rumah itu mampu memberikan bantuan. Siti Zaurah mengetuk pintu rumah itu dan memberi salam. Sebaik sahaja seorang wanita muncul di pintu, Siti Zaurah melahirkan hasratnya.

“Bolehkah puan membantu anak saya yang sedang kelaparan ini? Adakah di rumah puan mempunyai bekalan susu? Jika ada, bolehkah puan memberikan sedikit kepada anak saya?”

“Minta maaflah. Di rumah saya memang ada sedikit makanan dan susu, tetapi semuanya untuk diberikan kepada anak-anak saya. Jika saya memberikannya kepada puan, sudah tentu tidak cukup untuk anak-anak saya pula,” balas pemilik rumah itu.

“Wahai puan, lihatlah anak saya asyik menangis sahaja. Bantulah anak saya ini. Berikanlah sedikit makanan untuk anak saya. Kasihanilah anak kecil saya ini,” Siti Zaurah terus merayu.

“Saya tidak dapat membantu awak. Saya hanya menyimpan makanan untuk anak-anak saya sahaja,” balas wanita itu lalu menutup pintu.

Siti Zaurah berasa terlalu hampa. Dia mendukung bayinya dan melangkah pergi. Siti Zaurah berasa kecewa sehingga menitiskan air mata. Air matanya terus mengalir kerana berasa terlalu susah hati tidak dapat memberikan makanan atau minuman kepada bayinya sendiri.
Bayinya yang masih menangis kelihatan semakin letih. Siti Zaurah melangkah perlahan-lahan menuju ke satu destinasi dengan harapan ada orang yang sudi membantu.

“Sabarlah anakku, nanti kita akan bertemu dengan orang yang akan membantu kita,” ujar Siti Zaurah.

Siti Zaurah pergi ke sebuah rumah yang lain untuk meminta bantuan, namun permohonannya ditolak. Siti Zaurah tidak jemu merayu, namun rayuannya tidak dipedulikan. Anaknya masih tidak mendapat sebarang bantuan. Siti Zaurah tetap tabah dan menebalkan muka untuk meminta bantuan dari sesiapa sahaja yang ditemuinya. Segala usahanya hanya sia-sia sahaja. Pancaran matahari semakin terik. Siti Zaurah pula berasa letih. Bayinya pula telah terlena. Ketika melihat bayinya telah tidur, Siti Zaurah mengambil peluang berehat di bawah rimbunan pohon kurma. Di dalam keadaan itu, Siti Zaurah sempat berdoa kepada Allah.

“Ya, Allah, mengapakah tiada orang yang sudi memberikan bantuan kepada kami berdua? Apakah memang telah tiada orang berhati mulia?”

Tanpa diduga, Siti Zaurah bagaikan terdengar satu suara yang meminta agar dia tidak berputus asa. Siti Zaurah bertekad untuk tidak berputus asa. Selepas berehat, Siti Zaurah terus mendukung bayinya dan meneruskan perjalanan. Bayinya masih tidur lena.
Ketika Siti Zaurah berjalan, tiba-tiba dia bertemu dengan seorang wanita yang kelihatan agak uzur. Wanita itu menyapa Siti Zaurah.

“Bayimu kelihatan letih. Apakah dia lapar?” soal wanita itu.

“Bagaimana puan tahu?” soal Siti Zaurah.

Soalan Siti Zaurah tidak dijawab. Wanita tersebut hanya tersenyum sahaja.

“Jika bayimu berasa lapar, marilah singgah ke rumah saya,” pelawa wanita itu.

Siti Zaurah berasa terkejut tetapi gembira. Siti Zaurah terus mengekori wanita itu dan masuk ke dalam rumahnya.

“Silakan duduk dahulu,” ujarnya.

Siti Zaurah duduk di ruang tamu rumah wanita yang sungguh sederhana itu. Wanita itu kemudian keluar semula sambil membawa sebuah bekas. Siti Zaurah hanya memerhatikan sahaja. Alangkah terkejutnya Siti Zaurah apabila wanita itu menuju ke arah seekor kambing betina yang telah tua dan kurus. Wanita itu dengan berhati-hati memerah susu kambing itu. Susu yang diperoleh dari kambing itu diberikan kepada Siti Zaurah.

“Suapkanlah susu ini kepada bayimu,” ujar wanita itu sambil menghulurkan bekas berisi sedikit susu.

Tanpa berlengah lagi, Siti Zaurah menyuapkan susu ke dalam mulut bayinya. Akhirnya bayi Siti Zaurah berasa kenyang.

“Syukurlah anak saya telah kenyang. Sungguh mulia hati puan. Terima kasih di atas pertolongan puan. Sejak tadi saya meminta bantuan daripada ramai orang, tetapi tiada siapa mahu membantu. Saya bertuah kerana bertemu dengan orang berhati mulia seperti puan ini. Semoga puan diberkati Allah,” ujar Siti Zaurah.

“Pertolongan saya tidaklah sebesar mana. Ambillah susu ini untuk dibawa pulang. Mungkin bayimu akan berasa lapar lagi. Berikanlah susu ini kepadanya,” ujar wanita itu sambil menghulurkan sebotol susu kambing.

Siti Zaurah menerimanya dengan perasaan gembira. Siti Zaurah kemudian berjalan kaki untuk pulang. Tidak lama kemudian, wanita yang telah membantu Siti Zaurah menjadi kaya. Kambing yang kurus sewaktu diambil susunya itu telah menjadi gemuk. Kambing-kambingnya telah membiak. Hal ini telah menyebabkan jiran-jirannya berasa hairan.

“Bagaimanakah puan boleh memiliki kesenangan dalam keadaan yang sebegini cepat? Kambing-kambing puan semua gemuk dan membiak. Bolehkah saya tahu, apakah rahsia puan?” soal lelaki yang tinggal tidak jauh dari rumah wanita itu.

Wanita tua itu kemudian bercerita tentang kedatangan Siti Zaurah bersama bayinya yang kelaparan. Lelaki itu yang mendengar kisah tersebut terus mencari Siti Zaurah dengan
membawa banyak susu dan makanan. Dia berharap denganpemberian tersebut, dia akan turut menjadi kaya sebagaimana wanita tua tersebut. Walau bagaimanapun, harapan tersebut tidak tercapai. Rumah Siti Zaurah sudah kosong. Siti Zaurah dan bayinya telah berpindah. Demikianlah kalau pertolongan yang diberikan secara ikhlas, Allah akan membalas keikhlasan tersebut tanpa diduga.

Sekian, terima kasih.


Hendak baca cerita-cerita yang lain, anda boleh klik di bawah ini :
http://www.karyanet.com.my/lkk/ebuku.htm


Hendak lihat dan baca kisah yang lebih menarik lagi, anda boleh klik di bawah ini :
http://bangsamusnah.com/